Laporan Tahunan 2021

Laporan Tahunan 2021 16 INISIATIF PENDIGITALAN MATRADE menerapkan kesedaran pendigitalan dalam komuniti perniagaan dengan meningkatkan penggunaan platform digital dalam aktiviti perdagangan. Pertemuan perniagaan secara dalam talian atau eBizMatch diperhebatkan di mana 1,692 pertemuan telah diadakan, menghubungkan 1,205 pengeksport Malaysia dengan 993 pembeli dari luar negara yang menghasilkan jualan eksport berjumlah RM4.58 bilion. Sehubungan dengan itu, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-17 buat julung kalinya telah dilaksanakan sepenuhnya secara maya bermula 9 September hingga 31 Disember. Sebanyak 549 pempamer tempatan dan asing telah menyertai MIHAS yang menarik seramai 16,512 pengunjung. MIHAS 2021 telah berjaya menjana jualan berjumlah RM2.13 bilion. Selaras dengan peralihan ke fasa endemik, MATRADE telah membentangkan dua cadangan perniagaan strategik kepada Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Sebagai satu usaha untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdaya saing dan berproduktif tinggi, majlis ini telah bersetuju dengan dua cadangan tersebut. Cadangan pertama adalah membangunkan Portal Maklumat Tunggal untuk Eksport (SIPE) yang merupakan sebuah portal komprehensif yang merangkumi maklumat merentasi rantaian nilai perniagaan daripada pelbagai sumber bagi memudahcarakan syarikat Malaysia untuk berada di peringkat global. Cadangan kedua pula adalah Platform Acara Perdagangan Bersepadu (ITEP) iaitu satu platform khusus untuk menghubungkan pembeli dari luar negara dengan syarikat Malaysia melalui penganjuran acara perdagangan. Seterusnya, di bawah RMKe-12, MATRADE telah melaksanakan Program eTRADE 2.0 yang merupakan penambahbaikan dari Program eTRADE. Ia menyediakan insentif kepada syarikat yang menyertai platform e-dagang untuk merebut peluang daripada pertumbuhan pesat sektor ini. Sehingga 31 Disember, sebanyak 280 permohonan telah didaftarkan di bawah Program eTRADE 2.0. MATRADE turut diberi mandat melaksanakan inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) iaitu eBizLink (Jalinan Perniagaan Elektronik). Inisiatif ini menyediakan peluang perniagaan dalam pasaran global yang muncul ekoran pandemik dengan melibatkan kos yang lebih efektif dan mampan. Sebanyak 355 syarikat telah dibantu dengan RM40 juta jualan eksport dijana. Menyedari pentingnya fungsi MATRADE dalam memberi khidmat nasihat kepada pengeksport, program eNational Export Day (eNED) yang mengumpulkan pengeksport seluruh Malaysia secara maya telah diadakan. Program ini menampilkan penceramah terkemuka dari pelbagai industri dan dihadiri lebih 1,300 peserta membincangkan topik berkaitan pertumbuhan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang mencabar. MATRADE terus memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur IT dalaman dan sistem aplikasi MATRADE dibawah projek Digital MATRADE Pakej 3 (DM3) yang merangkumi pembangunan lima (5) sistem aplikasi seperti Sistem Maklumat Perdagangan, Sistem Pengurusan Bakat, Sistem Pengurusan KPI, Portal Pengurusan Pengetahuan dan Pengukuhan Portal MATRADE.

RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0