Laporan Tahunan 2021

Pengurusan, Integriti, Audit Dalam dan Perancangan Strategik 125 PEMANTAUAN PRESTASI PERDAGANGAN MALAYSIA Sebagai agensi promosi eksport negara, MATRADE bertanggungjawab menyediakan siaran media bulanan prestasi perdagangan Malaysia yang diumumkan oleh Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Siaran media ini mengandungi prestasi perdagangan Malaysia secara keseluruhan serta mengikut barangan dan pasaran. Statistik perdagangan diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Nota Jemaah Menteri mengenai prestasi perdagangan turut disediakan bagi perbincangan di peringkat Kabinet. MATRADE telah membangunkan Malaysia Trade Statistic System (MTSS) sebagai pemudah cara penyediaan siaran media dan untuk menganalisis serta membuat kajian ke atas pasaran, industri, produk dan perkhidmatan. Di antara analisis yang dibuat adalah berkaitan dengan potensi perdagangan dalam perjanjian perdagangan bebas seperti RCEP dan CPTPP serta memberi maklum balas mengenai data perdagangan bagi Pelan Induk Perindustrian Baharu. Kajian yang dilakukan dikongsi dengan pihak berkepentingan seperti MITI, kementerian lain dan pegawai MATRADE. Data yang diperoleh daripada sistem ini juga digunakan untuk merangka strategi bagi meningkatkan eksport negara. PERANCANGAN STRATEGIK BERKAITAN PELABURAN SYARIKAT MALAYSIA DI LUAR NEGARA MATRADE bertanggungjawab untuk membantu dan memantau pelaburan Malaysia di luar negara bagi tujuan akses pasaran. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada syarikat dan sumber sekunder, pelaburan syarikat Malaysia di luar negara berjumlah RM1,550.71 bilion pada tahun 2021. Asia Tenggara merupakan destinasi pelaburan terbesar bagi syarikat Malaysia, diikuti Afrika dan Eropah. Sektor tenaga merupakan sektor pelaburan terbesar di luar negara, diikuti oleh sektor perkhidmatan serta pembangunan dan pengurusan hartanah. Penganalisisan ini adalah penting bagi mengenal pasti potensi dan peluang meningkatkan eksport negara melalui pembekalan produk dan perkhidmatan kepada syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara. Pengeksport produk dan perkhidmatan Malaysia disaran agar memanfaatkan keberadaan Malaysia di luar negara bagi menawarkan syarikat produk dan perkhidmatan mereka kepada syarikat tersebut. PENGANALISISAN HALANGAN PERDAGANGAN BAGI PEMUDAH CARA AKSES PASARAN Salah satu cabaran yang dihadapi oleh pengeksport adalah halangan perdagangan dari segi tarif dan bukan tarif yang dikenakan oleh negara lain. Halangan tarif merupakan satu bentuk halangan dari negara pengimport yang akan mengakibatkan kos import lebih tinggi berbanding kos barangan yang dihasilkan, manakala halangan bukan tarif adalah dalam bentuk peraturan yang perlu dipatuhi bagi mengakses pasaran negara tersebut. Kedua-dua bentuk halangan ini akan mengakibatkan kenaikan kos barangan buatan Malaysia dari sudut pengimportan dan seterusnya mengakibatkan syarikat Malaysia menjadi kurang berdaya saing. Halangan tarif adalah dikenakan secara sama rata oleh negara pengimport dan dapat ditangani dengan perjanjian perdagangan dua hala seperti Perjanjian Perdagangan Bebas, manakala halangan bukan tarif berbeza mengikut ketetapan negara pengimport. Bagi tahun 2021, halangan bukan tarif terhadap barangan Malaysia dikategorikan sebagai halangan teknikal dan halangan bukan teknikal. Halangan teknikal antaranya seperti pelabelan barangan, ramuan makanan dan minuman, sanitari dan fitosanitari produk asas tani serta prasyarat kelestarian atas produk import. Bagi halangan bukan teknikal pula adalah termasuk larangan import, keperluan sijil tertentu mengikut negara dan kuota yang telah ditetapkan. Halangan spesifik juga merupakan halangan yang dikenakan terhadap barangan dari kategori tertentu seperti barangan elektrik, kimia dan produk halal serta barangan siap. Dengan adanya penganalisisan ke atas keseluruhan jenis halangan yang boleh merencatkan akses pasaran dan perkembangan eksport bagi barangan buatan Malaysia, MATRADE berupaya menasihati para pengeksport Malaysia mengenai peraturan di negara tertentu supaya pengeksport mendapat pengetahuan yang lebih tepat sebelum mengeksport ke negara berkenaan. PEMANTAUAN PENCAPAIAN MATRADE Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang, MATRADE meletakkan sasaran tahunan sebagai tanda aras bagi fungsi utama organisasi seperti bilangan program, potensi jualan eksport, syarikat yang dibantu, pengimport dan pengeksport baharu serta maklumat dan risikan pasaran yang diterbitkan. Pemantauan pencapaian dilaksanakan setiap suku tahun melalui pelbagai sistem dalaman yang telah dibangunkan di antaranya Sistem Pengurusan Promosi Perdagangan, Sistem Pengimport Asing, Sistem Daftar Pengeksport Malaysia dan Sistem Pengurusan Dokumen Elektronik. Hasil pemantauan akan dibentangkan kepada Pengurusan MATRADE pada setiap suku tahun untuk memastikan tindakan intervensi diambil bagi menyelaraskan semula fokus dan usaha sekiranya perlu supaya sasaran dapat dicapai. Meneraju Lonjakan Eksport Pasca Pandemik Matrade 2021 - BAB 4 zrq.indd 125 21/11/2022 11:52

RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0