Laporan Tahunan 2021

124 PERANCANGAN STRATEGIK Perancangan strategik merupakan salah satu aspek yang penting bagi mencorak hala tuju sesuatu organisasi untuk mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan. Penambahbaikan rangka kerja perlu dilaksanakan secara berterusan supaya sejajar dengan pembangunan eksport negara dalam memacu sektor perdagangan antarabangsa ke tahap yang lebih baik. Oleh itu, kompetensi pihak pengurusan untuk merangka pelan strategik perniagaan yang komprehensif serta fleksibel dapat meningkatkan prestasi dan mengemudi MATRADE ke arah kecemerlangan. PELAN STRATEGIK PERNIAGAAN Pelan Strategik Perniagaan (BSP) dirangka supaya MATRADE berupaya mencapai aspirasi menjadi sebuah organisasi yang berkredibiliti, berorientasikan pelanggan dan merupakan Agensi Promosi Perdagangan (TPO) yang sentiasa menambah baik perkhidmatan dalam menangani cabaran luaran dan dalaman. BSP merupakan dokumen rujukan yang mengandungi pelan tindakan penambahbaikan sistem penyampaian MATRADE kepada pengeksport Malaysia supaya lebih berdaya saing di peringkat global. Inisiatif ini dimulakan seawal tahun 2011 dengan BSP 1.0 dan seterusnya dengan BSP 2.0 pada tahun 2018. Dengan mengambil kira perkembangan serta perubahan yang telah dan sedang berlaku, BSP 3.0 bagi tahun 2021 sehingga tahun 2025, dirangka sebagai kesinambungan kepada kedua-dua dokumen tersebut. Tiga (3) penekanan utama dalam BSP 3.0 adalah: I. Orientasi perdagangan dengan memanfaatkan trend global II. Mendigitalkan penyampaian perkhidmatan MATRADE III. Pengaturan struktur MATRADE, bakat, proses dalaman dan komunikasi BSP 3.0 menggariskan empat (4) kluster strategik iaitu Pelanggan, Kewangan, Proses dan Sumber Manusia dengan parameter yang telah ditentukan. Kluster strategik ini mengutamakan kepuasan pelanggan dan pemegang taruh serta mengukuhkan proses dalaman yang memberi keutamaan kepada digitalisasi, disokong oleh penggunaan sumber yang minimum. Kluster strategik yang digariskan adalah seperti berikut: Pelanggan • Mengukuhkan daya saing pengeksport dan memenuhi jangkaan pemegang taruh Kewangan • Pengurusan kewangan berakauntabiliti dan mapan. Proses • Proses dalaman yang cekap dan efektif. Sumber Manusia • Tenaga kerja yang komited, cekap dan berpengetahuan. Skop BSP merangkumi kesemua Bahagian di dalam MATRADE dengan pelbagai proses kerja dan aktiviti yang dirancang serta dilaksanakan berlandaskan objektif untuk merealisasikan aspirasi dan visi MATRADE. BSP juga akan saling melengkapi dokumen strategi lain yang diguna pakai oleh MATRADE seperti RTPN dan Pelan Strategik Pendigitalan. PERANCANGAN PROGRAM KERJA TAHUNAN MATRADE Bagi mengekal dan meningkatkan prestasi eksport negara, perancangan program kerja tahunan MATRADE merangkumi aktiviti promosi dan pembangunan pengeksport dilaksanakan setahun lebih awal dengan teliti. Program tersebut dirangka berdasarkan hala tuju strategik di bawah RTPN yang antara lain menekankan elemen pendigitalan dan kelestarian. Selain itu, perancangan program kerja tahunan juga melihat kepada permintaan dan trend pasaran, maklum balas daripada pejabat perdagangan di luar negara, persatuan industri serta pengeksport. Program kerja tahunan MATRADE akan dimuktamad pada suku terakhir tahun sebelum berdasarkan perkembangan semasa dan peruntukan tahunan yang diterima. Program tahunan akan diumumkan di akhbar tempatan untuk makluman pihak industri dan senarai boleh diakses melalui portal dan media sosial MATRADE. Program juga diuar-uarkan kepada persatuan industri berkaitan melalui sesi libat urus yang dilaksanakan secara berkala. Laporan Tahunan 2021 Matrade 2021 - BAB 4 zrq.indd 124 21/11/2022 11:52

RkJQdWJsaXNoZXIy NjUyODU0